Terkini PRK Merlimau

Terkini @RT

BN syok sendiri di Kerdau ?

Barisan Nasional (BN) akan mengelak pendekatan kempen "syok sendiri" pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau, kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Beliau yang juga Pengarah pilihan raya kecil itu sebaliknya berkata, BN akan menjalankan kempen secara berhemah dan merendah diri serta terus kepada pengundi.
Katanya, jentera BN akan mengunjungi rumah ke rumah bagi memberi penjelasan kepada rakyat berhubung sebarang isu dan masalah yang timbul.
"Apa guna kalau kita berceramah, tengok-tengok orang kita juga yang hadir, Exco Pemuda UMNO berceramah dengan Pemuda UMNO, apa faedahnya," katanya selepas menghadiri majlis ramah mesra pelajar-pelajar anak Pahang dari universiti-universiti di Mesir di sini, hari ini.

Katanya, setiap ahli jentera yang dilengkapi dengan pelbagai maklumat diberikan tugasan untuk meraih sokongan sebilangan pengundi.

Adnan berkata, pendekatan berkenaan bukan baru malah telah memberi impak positif ketika pilihan raya kecil Sanggang pada April 2000.

Mengulas sama ada BN mampu meraih kemenangan dan memperoleh majoriti yang besar, Adnan berkata "kalau kita kata kita yakin, ia terletak pada rakyat, rakyat yang menentukan".
Bagaimanapun, katanya, BN mampu meraih kemenangan berdasarkan sifat penduduk DUN Kerdau yang bukan anti pihak berkuasa, setia dan bijak dalam membuat keputusan.

"Dengan harga kelapa sawit dan getah yang begitu baik, saya ingat sukarlah orang nak meracun fikiran pengundi-pengundi," katanya.

Kerusi DUN Kerdau kosong berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Zaharuddin Abu Kassim pada 12 Februari lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Mac depan sebagai tarikh pengundian, manakala penamaan calon pada 26 Februari ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

UMNO Online

Utusan Online

BERNAMA